Khamis, 2008 Julai 03

A.P.I. [ANGKATAN PERKARYA INDIE] DI PETA BUMI SASTERA SARAWAK DARUL HANA : APA SIGINIFIKANNYA DBPCS MENENGGELAMKAN PULAU A.P.I.?!




A.P.I. [ANGKATAN PERKARYA INDIE] DI PETA BUMI SASTERA SARAWAK DARUL HANA : APA SIGINIFIKANNYA DBPCS MENENGGELAMKAN PULAU A.P.I.?!

ESEI OLEH MASLINA MAHBU @ ARMIZA NILA

ANGKATAN PENGKARYA INDIE [A.P. I.]

TARIKH : 03 JULAI 2008

SEMANGAT : PERKAMPUNGAN PENULIS SARAWAK 2008 (26-29 JUN 2008) BERTEMPAT DI POLITEKNIK MUKAH, MUKAH, SARAWAK, MALAYSIA


Saya baru selesai berkampung di Politeknik Mukah sempena Perkampungan Penulis Sarawak 2008 mulai 26 hingga 29 Jun 2008 yang berjaya mengumpul para penulis, penggiat, pejuang, pendukung dan pemikir sastera dari seluruh pelosok Negeri Sarawak.

Kehadiran saya yang julung kalinya atas jemputan Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak saya sambut dengan penuh gembira dan tenang sekali. Seperti mendapat selonggok emas dalam kancah percaturan sastera Sarawak ini.

Saya tertarik dengan kertas kerja saudara Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakob (NIMOIZ) pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Mukah yang juga penulis dan pembimbing di e-sastera.com.

Kertas kerja beliau yang berjudul “Masa Depan Sastera di Sarawak” begitu menambat hati saya. Sebelum beliau membentangkan kertas kerja tersebut, saya terlebih dahulu sudah menghadam setiap isi kertas kerja beliau setelah disapa pegawai DBPCS saudara Ja’afar Haji Hamdan.

“Mas, API akan disentuh oleh Nik dalam kertas kerjanya,” sempat Ja’afar melirik senyum yang paling manis pada wajah letih saya pagi Sabtu setelah balik lewat lepas makan malam di Menara Pehin Sri.

“Oh, terima kasih,” berbunga hati saya di sebalik keletihan dan kemamaian saya kerana perjalanan jauh ke Mukah malam Jumaat itu.

Apa yang saya ingin utarakan di sini ialah apakah “SIGNIFIKAN TENGGELAMNYA PULAU API DI PETA SASTERA SARAWAK”.

Sebagai seorang peserta Perkampungan Penulis Sarawak 2008 atas tiket penulis biasa kerabat A.P.I. – saya menjangkakan PPS 2008 ini adalah ‘platform’ untuk semua orang/peserta boleh mengeluarkan persoalan/pandangan/buah fikir dan mampu diterima dengan positif dan waras oleh pihak-pihak berkenaan yang mengaku sebagai Ketua Pengembangan Sastera di Sarawak Darul Hana.

Maka, saya perturunkan di sini keseluruhan pandangan bukan persoalan yang ditujukan kepada saudara NIMOIZ selesai saja pembentangan kertas kerja beliau itu dan hampir-hampir saya tidak dibenarkan memberikan soalan.

“Assalamu’alaikum wbt dan salam sejahtera.
Saya Maslina Mahbu @ nama pena saya Armiza Nila”.

“Saya hanya ingin menyampaikan pandangan atau mungkin ini sebagai input tambahan kepada saudara Nimoiz. Pada pandangan saya, pendukung/pejuang sastera Sarawak harus berfikiran terbuka dalam menerima kewujudan pergerakan penulis di Sarawak yang tidak berdaftar – hanya dikenali sebagai pergerakan ‘underground’. Walau apa pun pegangan/ideologi perjuangan mereka – dalam zaman era globalisasi yang sarat dengan kecanggihan teknologi maklumat ini, tidak harus wujud ketidaksamarataan dalam mengetengahkan karya penulis-penulis yang berbakat ini. Contohnya Angkatan Pengkarya Indie atau lebih dikenali sebagai A.P.I. merupakan kerabat yang turut mewarnai sastera Bumi Kenyalang sejak tahun 2000 sehingga kini sudah menjangkau usia 8 tahun dengan beberapa kerat kerabatnya dari pelbagai latar belakang pendidikan.”

“Tambahan – saya sampaikan juga salam sastera daripada rakan-rakan A.P.I iaitu Zakaria Abdul Manan dan Yusuf Lotot yang tidak dapat hadir bersama kita kerana ada tugas lain yang lebih mewajarkan.”

“A.P.I. sejak tahun 2000 telah melebarkan sayap perkembangan dalam penulisan di alam sastera siber dengan wujudnya yahoo groups iaitu http://groups.yahoo.com/group/sastera_sarawak/ . Forum sastera.di sana bukan saja dianggotai oleh penulis Sarawak malah dari penulis Semenanjung Malaysia, Indonesia dan terbuka kepada seluruh dunia.”

“Kegiatan API boleh dilawati di http://teropongdigitalapi.blogspot.com/ – API Portal dan saya sendiri di http://armizanila07.blogspot.com/ – Maslina Mahbu”

“Sekian, terima kasih”.


Begitulah ungkapan sejujurnya telah saya luahkan semasa PPS 2008.

Saya mengambil semula tempat duduk hampir paling atas Auditorium Politeknik Mukah setelah mendapat tepukan gemuruh para peserta PPS 2008 apatah lagi ketika saya menyebut kedua nama sahabat karib saya itu.

Saya kembali duduk dengan tenang dan sambil menunggu saudara Hazami Jahari (Ketua Unit Pengembangan Sastera DBP Cawangan Sarawak),membentangkan kertas kerjanya berjudul “Masa Depan Sastera di Sarawak” juga.

Saya tidak menjangkakan begitu lancang sekali saudara Hazami menempis pandangan yang diutarakan wakil A.P.I yang tidak pernah pun dinyatakan nama pergerakannya dalam pembentangan kertas kerja kecuali sedikit oleh NIMOIZ tentang penerbitan.

Dengan nada penuh emosi, saudara Hazami Jahari menyatakan dengan terang-terang bahawa DBPCS tidak akan bekerjasama dengan API kerana jika DBPCS bekerjasama dengan API , DBPCS akan hangus dimakan API!

“Lain kali berilah nama baik sikit macam Air kah. Nama sahaja sudah menunjukkan tidak bagus”.

‘Para penulis jangan terlalu manja. DBPCS telah menyiarkan aktivitinya di akhbar Utusan Sarawak dan Utusan Borneo. Jika sudah tahu ada aktiviti di DBPCS, telefonlah DBPCS. Tak payah mohon dijemput,” tambah Hazami penuh semangat.

“Kami tidak akan menyokong pergerakan API,” begitu tegas pendirian beliau apa lagi disambut oleh ketawa nyaring para peserta.

“Tapi, datanglah ke pejabat DBPCS untuk berbincang dengan baik samada kamu berdaftar atau tidak. Kami akan cuba membantu yang terbaik ,” pandai pulak Hazami bermuka-muka.

Ketika itu juga wajah saya serasa hangat membahang dan berona merah menyala. Malu, marah, sedih perasaan saya bercampur baur apatah lagi mendengar bising suara para peserta yang menyambut gembira saranan-saranan Hazami.

Saya tidak pernah berniat untuk memperlekehkan kredibiliti Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak sementelahan saya dijemput dengan penuh santun ke PPS 2008 ini. Saya hanya menyuarakan pandangan ikhlas saya dengan harapan ada insan pengembang sastera yang prihatin akan kewujudan Pergerakan Penulis seperti Angkatan Pengkarya Indie [A.P.I].

Apakah siginifikannya DBPCS seolah-olah cuba menenggelamkan Pulau A.P.I di peta Sastera Sarawak Darul Hana ketika perkampungan penulis Sarawak 2008 di depan para penulis/penggiat sastera/pemikir/penyair/karyawan seni yang terdiri bukan saja dari kalangan penduduk Sarawak malahan di depan karyawan/budayawan/pemikir yang dijemput khas dari DBPKL dan Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Saya hanya mengharapkan DBPCS membuka matahatinya dan menerima kewujudan A.P.I yang menjangkau usia 9 tahun itu. Angkatan Pengkarya Indie sudah lama mempelopori sastera siber sejak zaman Ikatan Karyawan Muda Sarawak (IKATAN) sekembalinya Yusuf Fansuri dari Batam. Kemudian atas seba-sebab yang munasabah, IKATAN menukarkan namanya kepada Angkatan Pengkarya Indie singkatannya A.P.I.

Saya musykil kenapakah nama A.P.I. itu sendiri boleh menjadi isu kepada DBPCS dalam berlaku adil terhadap semua pergerakan sastera di Sarawak. Adakah DBPCS hanya diarahkan untuk mengembangkan persatuan penulis yang berdaftar dan di bawah naungan/kelahiran Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak semata-mata. Adakah bila DBPCS telah berjasa kepada penulis barulah penulis itu layak diperkatakan karyanya.

Saya terkejut, selain nama Yusuf Lotot yang tersenarai dalam penulis muda kelahiran tahun 1990, di mana nama Zakaria Abdul Manan (sifu saya) yang telah lama dan berpengalaman dalam penulisan sastera di Sarawak (lebih awal dari Yusuf Lotot) dan punya kolum sendiri di Suara Anak Seni Utusan Borneo itu. Sinora Azma (Rashid Hassan) juga bukan calang-calang penulis. Di samping Sajali Mohamad dan Yusuf Lotot, nama saya sebagai penulis wanita tidak pun tersenarai sedangkan saya bergelumang dalam arus kesusasteraan Sarawak Darul Hana seawall tahun 1997 dan disiarkan karya sekitar tahun 2001 sehinggalah sekarang.

Saya tidak bermaksud untuk bermegah atau istilah angkat bakul sendiri, tetapi saya cukup tidak setuju dengan kata-kata Hazami Jahari sekali lagi tentang di mana nama-nama penulis wanita Sarawak. Beliau dengan sinisnya menyatakan novelis novel popular yang telah menghasilkan 20 buah novel Radzemah Bolhassan yang berasal dari Sarikei, agak merudum tulisannya buat masa ini setelah bergelar isteri dan ibu.

“Begitulah perempuan, bila sudah kahwin, tak lagi aktif menulis. Lebih baik tidak kahwin,” seloroh Hazami Jahari lagi sambil mendapat sambutan ketawa para peserta.

Nampaknya, kertas kerja yang ingin disampaikan Hazami Jahari yang sebenarnya, terpaksa dipendekkan saja kerana tumpuannya lebih kepada ingin menenggelamkan pulau A.P.I di peta bumi Sarawak Darul Hana.

Disediakan : Maslina Mahbu @ Armiza Nila
Kampung Semariang Batu, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.

Rabu, 2008 Julai 02

Luahan bara Sekujur Kecil Sebesar Jiwa




Cintaku tergantung di pantai Mukah


Salam.


Di laman maya inilah suara hati luahan bara saya akan mengeluarkan laharnya yang hangat tapi mendinginkan hati.


Kembara saya di Mukah telah membuka mata hati saya pada kancah percaturan sastera Darul Hana.


Ini adalah luahan bara saya sendiri dan tidak pernah melibatkan hasutan sesiapa/mana-mana pihak

Tunggu...

Khamis, 2007 Januari 11

tersilap posting

maaf, saya tersilap publish nukilan hari-hari ke dalam blog cambahfikiroleharmizanila.

tapi, tak apalah...untuk menyerikan lagi wajahnya...miza kekalkan saja..

Hari hari...


hari hari berlalu
manusia mati dan lahir
manusia pergi dan masih tetap di sini
anak-anak membesar
yang dara jadi isteri
sang isteri jadi ibu
anak-anak pergi mengekori
ibubapa yang berhijrah diri
demi hidup yang lebih bererti
dan aku di sini semakin sepi
sunyi dari
hilai tawa
anak-anakbuah yang disayangi
rindu pada kucup
pada sapa yang kesekian kali
terkenang tangis dan gelihati
rajuk dan kelahi
anak-anak jauh pergi
kenangan jadi lipatan rapi
entah kapan ketemu lagi
anak-anak membesar kini
tanpa matakasih Aunty
Armiza Nila
-nukilan mengenang anak-anakbuah yang kini menetap di Miri.

Selasa, 2007 Januari 09

Peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak Terhadap Aktiviti Sastera Untuk Penulis




Salam---

Apa yang saya tulis ini adalah dari naluri saya sendiri dan tidak didalangi oleh mana-mana pihak atas kesedaran betapa pentingya seorang yang bercita-cita tinggi menjadi penulis bermaruah harus tidak banyak pun sedikit perlu mempunyai kaitan dengan mereka yang mentadbir/menggerak kerja penulis - Dewan Bahasa Dan Pustaka dan saya sebagai penghuni Bumi Kenyalang memfokuskan DBP Cawangan Sarawak.

Pertama, saya tidak nafikan peranan DBPCS dalam memperkenalkan penulis-penulis picisan termasuklah diri saya sehingga telah memilih sebagai calon penerima Anugerah Penulis seperti HPPS itu dan lain-lain anugerah yang belum saya kenali dan ketahui dengan lebih lanjut [mungkin kerana saya tidak pernah pun terfikir untuk menerimanya - bukan sombong dan takbur tapi itulah hakikatnya bagi penulis yang memang berniat menjadi sebenar-benar penulis - tanpa mengharap apa-apa balasan].

Terbaharu, saya sedikit terkilan bila mengetahui DBPCS telah menghantar serombongan penulis muda Sarawak pelbagai kaum ke Perhimpunan Penulis Pelbagai Kaum Malaysia di Semenanjung Malaysia melalui blog A.A. Radin. Saya terkilan kerana sudah lama saya nanti-nantikan aktiviti sastera seperti ini seperti yang pernah dan selalu diadakan di Sarawak yang pernah dan selalu saya ikuti atas poket, minat dan kesungguhan sendiri. Antaranya seperti Dialog Kalimantan-Borneo di Merdeka Palace, Kuching, Perhimpunan Penulis Malaysia di Rajah Court Hotel, Kuching dan Hari Sastera Peringkat Malaysia di Santubong Resort Kuching. Rata-rata aktiviti sastera yang saya ikuti itu atas landasan minat yang keterlaluan saya dalam bidang sastera sejak 1997 bilamana saya amat suka meluahkan segala masalah dan kekusutan zaman remaja dalam bentuk tulisan yang entah apa-apa.

Tapi sejak itu, saya jarang sekali mengikuti aktiviti sastera oleh DBPCS. Yang terakhir tahun 2004, saya menjadi peserta Bengkel Penulisan Cerpen KEPEZI bersama Zaharah Nawawi. Itupun atas pelawaan rakan penulis - Beb Sabariah. Saya akui kekurangan maklumat mengenai aktiviti sastera DBPCS.

Apa yang saya dengar dan lihat sendiri, DBPCS sering menghantar senarai nama penulis-penulis yang sama setiap kali ada aktiviti sastera yang melibatkan jarak jauh seperti di Semenanjung Malaysia itu mahupun mereka yang di luar Kuching akan dihantar ke Kuching atau mereka yang di Kuching sering dihantar ke luar Kuching seperti Sibu, Miri, Kapit mahupun Limbang. Penulis-penulis yang sudah punya nama - [antara contohnya - seperti Radzemah Bolhassan, Jaafar Hamdan, Maliah Adenan, Faizal Akira, Shamsul Idzham] - barangkali kerapkali dihantar sebagai peserta. Saya percaya, hubungan rapat mereka dengan DBPCS merupakan satu bonus buat mereka untuk sampai ke tahap itu berbanding rakan penulis lain seperti saya yang membawa haluan sendiri-sendiri. Tidak menyertai persatuan berdaftar seperti PEKASA mahupun PUTERA atau lain-lainnya. Saya akui saya salah seorang penggerak Angkatan Pengkarya Indie - yang selalu mempunyai masalah komunikasi/apa-apa masalah dengan persatuan berdaftar yang lain atau DBPCS sendiri. Tapi, cubalah fahami bahawa pergerakan kami tidaklah seburuk dan sejahat mana yang orang-orang sastera fikirkan. Kami punya perjuangan sendiri. Saya juga punya pendirian sendiri dan tiada siapa pun berhak menghasut atau cuba memperkotak-katikkan pendirian kita, bukan. Justeru, janganlah pandang serong terhadap saya dan kerabat API sehingga menidakkan kewujudan kami dalam arus sastera di Sarawak ini.

Dan saya tidak pernah menyalahkan Angkatan Pengkarya Indie [A.P.I] jika saya juga turut dipandang sepi untuk mengikuti apa-apa aktiviti DBPCS kerana saya sentiasa bersikap terbuka. Saya sentiasa menyokong apa-apa aktiviti yang dijalankan oleh PEKASA mahupun DBPCS sendiri biarpun saya berkorban masa dan waktu bekerja untuk mengikutinya.

Apapun, saya berharap pihak DBPCS mengambil berat akan nasib penulis-penulis seperti saya yang tidak bernaung di bawah persatuan-persatuan kelahiran DBPCS dengan turut menyumbang/memilih di antara kami ini untuk sama-sama mengikuti aktiviti sastera yang maha bermanfaat. Alangkah beruntungnya serombongan penulis Sarawak itu yang berpeluang menekuni ilmu puisi daripada SN Pak A. Samad Said sendiri.

Saya tidak kesal cuma sedikit terkilan, cara pemilihan peserta dan saya berharap pihak DBPCS bersikap adil terhadap semua golongan penulis di Sarawak ini [entah berapa kerat saja yang serius] waima bagaimana/apapun pegangan mereka tanpa memilih bulu.

Mungkin selepas ini saya perlu berdepan dan bersemukasuara dengan Encik Zaini Oje Pengarah DBPCS yang disanjungi itu bagi mempertengahkan isu ini biarpun saya ini hanyalah penulis kerdil yang berkobar-kobar semangatnya.

Armiza Nila
-Penulis kecil berjiwa kentak-
9 Januari 2007
Kuching, Sarawak.

Jumaat, 2007 Januari 05

Percambahan Fikiran 2007




Salam tahun baru 2007.


Sebenarnya, idea sudah bertandang - apa yang akan dicambahfikirkan untuk sastera 2007. Cuma menunggu masa yang sesuai saya akan bentangkannya di sini dengan sepenuh hati yang ikhlas.


Antara klunya - Perhimpunan Penulis Pelbagai Kaum Malaysia dan Peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sarawak - khas untuk penulis Sarawak.


Saya perlukan sedikit ruang dan waktu yang tenang untuk menyatakan harapan saya itu.


Armiza Nila

POLIKU

5 Januari 2007

Khamis, 2006 Disember 28

Sudah lama




Salam,

Sudah agak lama saya tidak dapat mengemaskini blog yang satu ini.

Saya akui keterbatasan waktu di pejabat membataskan penulisan berbentuk panjang saya ini dan kekadang saya kebuntuan ilham sehinggalah ada sesuatu yang menjentik naluri saya untuk menulis.

Apa pun, saya mohon maaf dan sedikit kesal atas kelemahan saya ini dari terus tidak mengemaskini blog ini. Saya sebenarnya ingin saja menamatkan blog ini. Namun apabila melihat balik penulisan saya sebelum ini, niat saya itu saya kuburkan saja. Dan insyaAllah saya akan terus mengemaskini blog ini dari masa ke semasa kerana saya tidak dapat mengelak untuk terus menyuburkan minat saya dalam bidang penulisan meskipun apa yang saya tulis itu bukanlah datangnya dari seorang pemikir besar seperti kebanyakan penulis.

Saya akui masih belajar menerokai dan menyelam ke dasar laut sastera yang bergelombang ini dan tidak akan pernah kalah atau terus lemas sebelum mencapai mutiara yang saya idamkan itu.

Semoga dengan tahun baru yang bakal menjelang, semangat saya untuk terus menulis apa-apa saja yang bisa dimanfaatkan oleh pembaca akan terus membara dan suatu hari nanti akan menghasilkan kebaikan yang tiada tolok bandingnya.

Terima kasih atas dorongan rakan-rakan penulis Sarawak mahupun luar negara (Labibah) kerana sudi untuk terus memberi komen dalam blog kesayangan saya ini.


Armiza Nila